BAB 5

1 Setelah semua itu, ada perayaan orang Yahudi dan Yesus pergi ke Yerusalem. 2 Di Yerusalem dekat Pintu Gerbang Domba ada sebuah kolam yang disebut Betesda dalam bahasa Ibrani, yang memiliki lima serambi. 3 Setiap serambi itu, ada banyak orang sakit sedang berbaring seperti orang buta, orang timpang dan orang lumpuh. Mereka menantikan air di kolam bergolak. 4 Sebab pada waktu tertentu ada malaikat Tuhan akan turun ke kolam dan menggerakkan airnya. Orang yang pertama kali masuk ke dalam kolam setelah airnya bergolak, akan disembuhkan dari penyakit apa pun yang dideritanya. 5 Di situ ada seorang yang sudah sakit selama tiga puluh lapan tahun. 6 Ketika Yesus melihat dia berbaring di situ dan mengetahui bahawa dia sduah lama menderita sakit, Yesus pun bertanya kepadanya, ''Apakah kamu mau disembuhkan?'' 7 Orang sakit itu menjawab, ''Tuan, tidak ada orang yang menurunkan saya ke dalam kolam saat airnya bergolak, semantara saya berusaha untuk turun orang lain sudah mendahuluiku.'' 8 Yesus berkata kepadanya, ''Berdirilah! Angkat tilammu dan berjalanlah.'' 9 Saat itu juga, orang itu disembuhkan, dia pun mengangkat tilamnya dan berjalan, tetapi pada hari itu adalah hari Sabat. 10 Kerana itu, orang-orang Yahudi berkata kepada orang yang disembuhkan itu, ''Hari ini adalah hari Sabat, kamu tidak boleh mengangkat tilammu. 11 Akan tetapi, dia menjawab, ''Orang yang menyembuhkan saya, Dialah yang berkata kepadaku, ''Angkatlah tilammu dan berjalanlah.'' 12 Mereka bertanya padanya, ''Siapakah Orang yang menyuruhmu, ''Angkatlah tilammu dan berjalanlah?'' 13 Tetapi orang yang disembuhkan itu tidak tahu siapa Yesus kerana Yesus sudah menghilang dari orang banyak di tempat itu. 14 Sesudah itu, Yesus bertemu lagi dengan orang itu di Rumah Tuhan dan berkata kepadanya, ''Dengar, kamu sudah sembuh jangan lagi melakukan kejahatan supaya tidak terjadi perkara yang lebih buruk kepadamu!'' 15 Orang itu pergi dan menceritakan kepada orang Yahudi bahawa Yesuslah yang telah menyembuhkannya. 16 Kerana itu, orang Yahudi menganiaya Yesus kerana Yesus melakukan semua itu pada hari Sabat. 17 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, ''Bapa-Ku masih bekerja sampai saat ini, maka Aku pun akan bekerja.'' 18 Jawaban itu membuat orang-orang Yahudi berusaha lebih keras lagi untuk membunuh Yesus, bukan hanya kerana melanggar hari Sabat melainkan menyebut Allah sebagai Bapa-Nya sendiri, yang bererti menyamakan diri-Nya dengan Allah. 19 Kemudian, Yesus menjawab mereka, kata-Nya, ''Sesungguhnya Aku berkata kepada kamu, Anak tidak dapat melakukan sesuatu dari diri-Nya sendiri jika Dia tidak melihat Bapa mengerjakannya; kerana apa yang dikerjakan Bapa itu juga yang dikerjakan oleh Anak. 20 Sebab Bapa mengasihi Anak dan memperlihatkan kepada Anak segala yang Ia sendiri lakukan,Bapa juga memperlihatkan kepada-Nya pekerjaan-pekerjaan yang lebih besar lagi supaya kamu akan kagum. 21 Sebab sama seperti Bapa membangkitkan orang mati dan memberi mereka kehidupan, demikian juga Anak memberi kehidupan kepada siapa yang Dia ingini. 22 Bapa tidak menghakimi siapa pun sebaliknya memberikan seluruh penghakiman itu kepada Anak, 23 supaya semua orang akan menghormati Anak sama seperti mereka menghormat Bapa. Orang yang tidak menghormati Anak tidak menghormati Bapa yang mengutus-Nya. 24 Sesungguhnya Aku mengatakan kepadamu, orang yang mendengar perkataan-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus Aku akan memiliki hidup yang kekal dan tidak masuk ke dalam penghakiman kerana ia sudah pindah dari kematian kepada kehidupan. 25 Aku berkata kepada kamu, waktunya akan tiba dan telah tiba sekarang ketika orang-orang mati akan mendengar suara Anak Allah dan mereka yang mendengar itu akan hidup. 26 Kerana sebagaimana Bapa memiliki hidup di dalam diri-Nya sendiri, demikian juga Ia memberikan kepada Anak hidup di dalam diri-Nya sendiri, 27 dan Bapa memberi kuasa kepada Anak untuk menjalankan penghakiman kerana Dia adalah Anak Manusia. 28 Jangan hairan akan perkara ini kerana saatnya akan tiba ketika semua orang yang ada di dalam kubur akan mendengar suara-Nya 29 dan mereka akan keluar, iaitu mereka yang telah melakukan kebaikan akan menuju kebangkitan hidup. Sedangkan mereka yang melakukan kejahatan menuju kebangkitan penghakiman. 30 Aku tidak dapat berbuat apa-apa dari diri-Ku sendiri. Aku menghakimi sesuai yang Aku dengar, penghakiman-Ku adil kerana Aku tidak mencari kehendak-Ku sendiri, melainkan kehendak Dia yang mengutus Aku. 31 ''Jika Aku harus bersaksi tentang diri-Ku sendiri, kesaksianKu tidak benar. 32 Ada yang lain yang bersaksi mengenai Aku, dan Aku tahu bahawa kesaksian yang Ia berikan tentang Aku adalah benar. 33 Kamu sudah mengutus kepada Yohanes dan dia telah memberikan kesaksian tentang kebenaran. 34 Akan tetapi kesaksian yang Aku terima bukan dari manusia. Aku mengatakan perkara ini supaya kamu diselamatkan. 35 Yohanes adalah pelita yang menyala dan bercahaya dan kamu ingin bersukacita sesaat sahaja dalam cahayanya. 36 Akan tetapi, kesaksian yang Aku miliki lebih besar daripada kesaksian Yohanes. Sebab pekerjaan yang diserahkan Bapa kepada-Ku untuk Kuselesaikan, iaitu pekerjaan yang sedang Kulakukan sekarang, memberikan kesaksian tentang Aku bahawa Bapalah yang mengutus Aku. 37 Dan, Bapa yang mengutus Aku memberi kesaksian tentang Aku. Tetapi kamu tidak pernah mendengar suara-Nya ataupun melihat rupa-Nya. 38 Dan, firman-Nya tidak tinggal di dalam hati kamu kerana kamu tidak percaya kepada Dia yang diutus-Nya. 39 Kamu mempelajari Kitab Suci kerana kamu menyangka bahawa di dalam Kitab Suci kamu akan mendapatkan hidup yang kekal; Dan Kitab Suci itu juga memberi kesaksian tentang Aku, 40 tetapi kamu tidak mau datang kepada-Ku supaya kamu hidup. 41 Aku tidak menerima kemuliaan dari manusia. 42 Namun Aku mengenal kamu bahawa kamu tidak mempunyai kasih Allah di dalam dirimu. 43 Aku datang atas nama Bapa-Ku, tetapi kamu tidak menerima Aku. Jika orang lain datang atas nama mereka sendiri kamu menerimanya. 44 Bagaimanakah kamu dapat percaya jika kamu menerima pujian dari seorang akan yang lain dan tidak mencari pujian yang datang dari Allah yang mahakuasa? 45 Jangan menyangka Aku mendakwamu di hadapan Bapa; yang mendakwamu adalah Musa, iaitu orang yang kepadanya kamu berharap. 46 Sebab jika kamu percaya kepada Musa, kamu seharusnya percaya kepada-Ku kerana Musa menulis tentang Aku. 47 Akan tetapi jika kamu tidak percaya kepada Musa yang menulis bagaimana kamu percaya pada perkataan-Ku?''