BAB 4

1 Ketika Tuhan Yesus mengetahui orang-orang Farisi telah mendengar bahawa Yesus menghasilkan dan membaptis lebih ramai murid berbanding Yohanes, 2 (walau pun Yesus sendiri tidak membaptis melainkan murid-murid-Nya), 3 Yesus pun meninggalkan Yudea dan kembali ke Galilea. 4 Tetapi, Yesus melalui wilayah Samaria. 5 Sampailah Yesus di Samaria, di sebuah bandar yang bernama Sikhar, terletak dekat tanah yang dulu diberikan Yakub kepada anaknya Yusuf. 6 Perigi Yakub ada di sana. Kemudian, Yesus yang penat kerana perjalanan duduk di tepi perigi itu kira-kira pukul dua belas tengah hari. 7 Datanglah seorang perempuan Samaria untuk mengambil air. Yesus berkata kepadanya, ''Berilah Aku minum.'' 8 (Sebab murid-murid-Nya telah pergi ke bandar untuk membeli makanan.) 9 Perempuan Samaria itu berkata kepada Yesus, ''Engkau orang Yahudi, saya orang Samaria, mengapa Engkau meminta air dariku? ''(Sebab orang Yahudi tidak bergaul dengan orang Samaria). 10 Yesus menjawab kepadanya, ''Jika kau tahu tentang karunia Allah dan tahu siapakah yang berkata kepadamu, 'Berilah Aku minum,' kamu pasti meminta kepada-Nya dan Dia akan memberimu air hidup.'' 11 Perempuan itu berkata kepada Yesus, ''Tuan, Engkau tidak punya gayung dan perigi ini sangat dalam, dari mana Engkau memperolehi air hidup itu? 12 Apakah Engkau lebih besar daripada nenek moyang kami Yakub yang memberikan perigi ini kepada kami, dia sendiri serta semua anak-anaknya dan ternakannya telah minum air ini?'' 13 Yesus menjawab kepadanya, ''Setiap orang yang minum dari air ini akan haus lagi, 14 tetapi orang yang minum dari air yang Kuberikan kepadanya tidak akan haus lagi, kerana air yang Kuberikan kepadanya akan menjadi mata air di dalam dirinya yang akan terus memancar sampai kepada hidup yang kekal. 15 Perempuan itu berkata kepada Yesus, ''Tuan, berilah saya air itu supaya saya tidak lagi haus dan saya pun tidak lagi perlu datang di sini untuk mengambil air.'' 16 Yesus berkata kepadanya, ''Pergilah, panggil suamimu dan kembalilah di sini.'' 17 Perempuan itu menjawab, ''Aku tidak mempunyai suami.'' Kata Yesus kepadanya, ''Benar katamu, bahawa engkau tidak mempunyai suami.' 18 Kerana kamu sudah lima kali berkhawin, dan lelaki yang sekarang tinggal bersamamu bukanlah suamimu. Dalam hal ini, kamu berkata benar.'' 19 Kata perempuan itu kepada-Nya, ''Tuan, sekarang aku tahu bahawa Engkau adalah seorang Nabi. 20 Nenek moyang kami menyembah di gunung ini, tetapi bangsa-Mu mengatakan bahawa di Yerusalemlah tempat orang menyembah.'' 21 Yesus berkata kepadanya, ''Percayalah kepada-Ku, hai perempuan! Akan tiba saatnya bukan di gunung ini ataupun di Yerusalem orang menyembah Bapa. 22 Kamu menyembah yang tidak kamu kenal, tetapi kami menyembah yang kami kenal kerana keselamatan datang dari bangsa Yahudi. 23 Tetapi, akan tiba saatnya iaitu sekarang, penyembah-penyembah benar akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran, sebab Bapa menuntut seperti itu untuk menyembah Dia. 24 Allah adalah Roh dan mereka yang menyembah Dia harus menyembah dalam roh dan kebenaran.'' 25 Perempuan itu berkata kepada-Nya, ''Aku tahu bahawa Mesias akan datang (Ia akan disebut Kristus). Ketika Dia datang, Dia akan memberitahu segala sesuatu kepada kami.'' 26 Jawab Yesus kepadanya, ''Aku, yang sedang bercakap kepadamu adalah Dia.'' 27 Saat itu, datanglah murid-murid-Nya dan mereka hairan melihat Yesus sedang bercakap dengan seorang perempuan. Tetapi tidak seorang pun yang bertanya kepada-Nya, ''Apa yang Engkau cari?'' atau ''Mengapakah Engkau bercakap dengan dia?'' 28 Kemudian, perempuan itu meninggalkan baldinya dan pergi ke bandar memberitahu kepada orang ramai di sana, 29 ''Marilah melihat seorang yang memberitahu kepadaku tentang semua apa yang telah kulakukan, mungkinkah Dia itu Mesias?'' 30 Mereka pun pergi ke luar bandar dan menemui Yesus. 31 Semantara itu murid-murid-Nya mendesak Yesus dengan berkata, ''Rabi, makanlah.'' 32 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, ''Aku punya makanan yang tidak kamu kenal.'' 33 Lalu murid-murid bertanya sesama sendiri kepada yang lain, ''Apakah ada orang yang memberi makanan kepada-Nya?'' 34 Yesus berkata , ''Makanan-Ku ialah melakukan kehendak Dia yang telah mengutus Aku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya. 35 Bukankah kamu berkata, 'Empat bulan lagi musim menuai tiba'?, Aku berkata kepadamu, bukalah matamu dan pandanglah ladang-ladang telah menguning untuk dituai. 36 Sekarang juga, dia yang menuai akan menerima upahnya dan mengumpulkan buah untuk hidup kekal sehingga penuai dan penanam sama-sama bersukacita. 37 Dalam perkara ini perkataan ini adalah benar, 'Yang seorang menanam dan yang lain menuai.' 38 Aku mengutus kamu untuk menuai yang tidak pernah kamu kerjakan; orang lain sudah mengerjakannya dan kamu tinggal masuk ke dalam pekerjaan mereka. 39 Banyak orang Samaria di bandar itu percaya dengan Yesus sebab laporan dari wanita itu yang bersaksi. ''Dia telah katakan padaku semua yang telah aku lakukan.'' 40 Maka ketika orang Samaria datang pada Yesus, mereka menjemput Yesus untuk tinggal bersama mereka, lalu Yesus tinggal bersama mereka selama dua hari. 41 Banyak lagi orang yang percaya kerana perkataan-Nya. 42 Mereka berkata kepada perempuan itu, ''kami bukan percaya kerana perkataanmu, tetapi kami sendiri yang telah mendengar dan kami tahu bahawa orang inilah juruselamat dunia.'' 43 Selepas dua hari, Yesus berangkat dari sana ke Galilea. 44 Kerana Yesus sendiri telah menyatakan bahawa seorang nabi tidak dihormati di kampungnya sendiri. 45 Ketika Yesus sampai di Galilea, orang Galilea menyambut-Nya. Mereka telah melihat semua perkara yang Yesus lakukan pada perayaan di Yerusalem, kerana mereka juga berada pada perayaan itu. 46 Sekarang Yesus datang lagi di Kana, Galilea, tempat Yesus telah membuat air menjadi arak. Ada seorang pegawai kerajaan yang anaknya sedang sakit di Kapernaum. 47 Ketika dia mendengar bahawa Yesus telah tinggalkan Yudea dan kembali ke Galilea, dia pergi kepada Yesus dan meminta Yesus untuk turun menyembuhkan anaknya yang hampir mati. 48 Yesus berkata kepadanya, ''Kamu semua tidak percaya kalau kamu tidak melihat mukjizat.'' 49 Pegawai itu menjawab pada Yesus, ''Tuan datanglah sebelum anakku mati.'' 50 Yesus berkata padanya, ''Pergi, anakmu hidup.'' Orang itu mempercayai perkataan Yesus, dan dia dengan segera berjalan pergi. 51 Ketika pegawai itu dalam perjalanan, hamba-hambanya bertemu dengan dia sambil berkata bahawa anaknya hidup. 52 Lalu pegawai itu bertanya kepada mereka, jam berapa anaknya sembuh? mereka menjawab, ''Kemarin petang dia telah sembuh.'' 53 Kemudian pegawai itu menyedari bahawa pada waktu itulah Yesus telah katakan padanya, ''anakmu hidup.'' Maka dia sendiri dan seluruh rumahnya menjadi percaya. 54 Inilah mukjizat kedua yang Yesus telah lakukan ketika Yesus keluar dari Yudea ke Galilea.