BAB 3

1 Ada seorang Farisi bernama Nikodemus. Dia merupakan seorang pemimpin bangsa Yahudi. 2 Suatu malam dia datang kepada Yesus dan berkata, ''Rabi, kami tahu bahawa Engkau adalah Guru yang datang dari Allah kerana tidak seorang pun yang dapat melakukan tanda-tanda mukjizat yang Engkau lakukan kecuali Allah ada bersamanya.'' 3 Yesus menjawabnya, ''Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, jika seseorang tidak dilahirkan semula, ia tidak dapat melihat Kerajaan Allah.'' 4 Nikodemus bertanya, ''Bagaimana seseorang dapat dilahirkan semula kalau dia sudah tua? Dapatkah dia masuk semula ke dalam rahim ibunya dan dilahirkan semula?'' 5 Jawab Yesus kepadanya, ''Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, jika seseorang tidak dilahirkan dari air dan Roh, dia tidak dapat masuk ke dalam Kerajaan Allah. 6 Apa yang dilahirkan dari daging merupakan daging dan apa yang dilahirkan dari Roh adalah roh. 7 Janganlah hairan kerana Aku berkata kepadamu, ''Kamu harus dilahirkan semula.'' 8 Angin bertiup ke mana pun ia mau dan kamu mendengar bunyinya, tetapi kamu tidak tahu dari mana asalnya dan ke mana ia akan pergi. Begitu juga setiap orang yang dilahirkan dari Roh.'' 9 Nikodemus bertanya, ''Bagaimana semua perkara ini boleh berlaku?'' 10 Yesus menjawab, ''Bukankah kamu guru orang Israel, tetapi kamu tidak mengerti semua perkara ini? 11 Sesungguhnya, Aku mengatakan kepadamu bahawa kami bercakap tentang apa yang kami ketahui dan memberi kesaksian tentang apa yang kami lihat tetapi kamu tidak menerima kesaksian kami. 12 Kalau Aku memberitahumu tentang perkara duniawi saja kamu tidak percaya, bagaimana kamu boleh percaya kalau Aku memberitahumu tentang perkara surgawi? 13 Tidak seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Dia yang telah turun dari syurga iaitu Anak Manusia. 14 Sama seperti Musa menaikkan ular tembaga di padang belantara, demikian juga Anak Manusia harus ditinggikan, 15 supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal. 16 Kerana Allah sangat mengasihi dunia ini, Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan memperolehi hidup yang kekal. 17 Kerana Allah mengutus Anak-Nya ke dalam dunia bukan untuk menghakimi dunia, melainkan supaya dunia diselamatkan melalui Anak-Nya. 18 Orang yang percaya kepada-Nya tidak akan dihukum tetapi orang yang tidak percaya sudah berada di bawah hukuman kerana ia tidak percaya pada nama Anak Tunggal Allah. 19 Inilah hukuman itu: Terang telah datang ke dalam dunia, tetapi manusia lebih menyukai kegelapan daripada terang kerana apa yang mereka lakukan adalah jahat. 20 Kerana setiap orang yang melakukan kejahatan membenci Terang serta tidak datang kepada Terang itu supaya perbuatan-perbuatannya tidak diungkit-ungkit lagi. 21 Akan tetapi orang yang melakukan kebenaran datang kepada Terang itu supaya perbuatan mereka yang jahat dinyatakan di dalam Allah.'' 22 Sesudah itu Yesus dan para murid-Nya pergi ke tanah Yudea. Di sana Yesus menghabiskan waktu bersama mereka dan membaptis. 23 Yohanes juga membaptis di Ainon dekat Salim kerana ada banyak air di sana. Ramai orang datang minta dibaptis. 24 Waktu itu Yohanes belum lagi dimasukkan ke dalam penjara. 25 Lalu timbullah perselisihan faham di antara beberapa murid Yohanes dengan seorang Yahudi tentang adat pembasuhan. 26 Kemudian mereka pergi kepada Yohanes dan berkata, ''Guru, seorang yang ada bersama engkau di seberang sungai Yordan, yang tentang Dia engkau telah bersaksi, lihatlah, Dia juga membaptis dan semua orang datang kepada-Nya.'' 27 Yohanes menjawab, ''Manusia tidak dapat menerima apa pun kecuali perkara itu diberikan kepadanya dari syurga. 28 Kamu sendiri dapat memberi kesaksian bahawa aku pernah berkata, 'Aku bukan Mesias; tetapi aku diutus untuk mendahului-Nya. 29 Pengantin perempuan kepunyaan pengantin lelaki, sahabat pengantin lelaki hanya menunggu dan mendengar serta bersukacita mendengar suara pengantin lelaki. Begitu juga halnya dengan aku, sekarang kegembiraanku sempurna. 30 Dia mesti semakin besar dan aku semakin kecil. 31 ''Dia yang datang dari atas adalah di atas semuanya, dia yang berasal dari bumi adalah dari bumi dan bercakap perkara-perkara yang ada di bumi sahaja. Dia yang datang dari syurga adalah di atas segala sesuatu. 32 Dia memberi kesaksian tentang apa yang dilihat dan didengar-Nya, tetapi orang-orang tidak menerima kesaksian-Nya. 33 Orang yang menerima kesaksian-Nya mengakui dengan sungguh-sungguh bahawa Allah itu benar. 34 Sebab, orang yang diutus Allah akan menyampaikan perkataan Allah kerana Allah memberikan Roh yang tidak terbatas. 35 Bapa mengasihi Anak dan telah menyerahkan segala sesuatu ke dalam tangan-Nya. 36 Orang yang percaya kepada Anak memiliki hidup yang kekal, tetapi orang yang tidak mentaati Anak tidak memiliki kehidupan melainkan dihukum oleh Allah selama-lamanya.