1 Pada hari yang ketiga, ada majlis perkhawinan di Kana, Galilea, dan ibu Yesus ada di sana. 2 Yesus dan murid-murid-Nya juga diundang ke majlis perkhawinan itu. 3 Ketika arak telah habis, ibu Yesus berkata kepada-Nya, ''Mereka telah kehabisan arak.'' 4 Yesus menjawab, ''Perempuan, apa hubungannya dengan-Ku? Waktu-Ku belum tiba.'' 5 Ibu Yesus berkata kepada para pelayan, ''Apa pun yang Dia katakan kepadamu, lakukan sahaja. 6 Di sana ada enam buah tempayan yang digunakan untuk upacara pembasuhan Yahudi, yang masing-masing berisi seratus liter air. 7 Yesus berkata kepada mereka, ''Isilah tempayan itu penuh dengan air. 8 Kemudian Yesus berkata kepada para pelayan, ''Sekarang ambillah sedikit dan bawa kepada ketua majlis.'' Lalu, mereka membawanya kepada ketua majlis. 9 Ketua majlis itu mengecap air yang sudah berubah menjadi arak. Dia tidak tahu dari mana datangnya arak itu. (Hanya para pelayan yang mengetahuinya.) Oleh itu ketua majlis memanggil pengantin lelaki. 10 Dan berkata kepadanya, ''Setiap orang menghidangkan arak yang baik dahulu dan ketika semua orang sudah puas minum, barulah menghidangkan arak yang kurang baik. Namun, engkau menyimpan arak yang baik sampai sekarang. 11 Itulah mukjizat pertama yang Yesus lakukan di Kana, Galilea, dan menyatakan kemuliaan-Nya dan murid-murid-Nya percaya kepada-Nya. 12 Selepas itu, Yesus pergi ke Kapernaum bersama ibu-Nya,saudara-saudara dan murid-murid-Nya. Mereka tinggal di sana beberapa hari. 13 Apabila Perayaan Paskah orang Yahudi sudah dekat Yesus pun pergi ke Yerusalem. 14 Di dalam Rumah Tuhan, Yesus melihat orang-orang menjual lembu, domba dan merpati serta tempat menukar wang duduk di sana. 15 Yesus membuat cemeti dari tali lalu menghalau mereka keluar dari Rumah Tuhan, termasuk semua domba dan lembu mereka. Yesus juga membuang wang syiling dari para penukar wang serta menunggangbalikkan meja mereka. 16 Kepada para penjual merpati, Yesus berkata, ''Bawa semua keluar dari sini! Jangan jadikan rumah Bapa-Ku tempat untuk berniaga!'' 17 Murid-murid-Nya teringat ayat alkitab yang mengatakan, ''Kasih-Ku terhadap rumah-Mu menghanguskan Aku.'' 18 Kemudian, orang-orang Yahudi menjawab kepada Yesus, ''Mukjizat apa yang Engkau tunjukan kepada kami sehingga Engkau berhak melakukan perkara begini?'' 19 Yesus menjawab mereka, ''Hancurkan Rumah Tuhan ini dan dalam tiga hari Aku akan membinanya semula. 20 Mereka menjawab, ''Empat puluh enam tahun untuk membina Rumah Tuhan ini dan Engkau akan membinanya semula dalam tiga hari?'' 21 Tetapi yang Yesus maksudkan Rumah Tuhan adalah tubuh-Nya sendiri. 22 Kerana itu, ketika Yesus dibangkitkan dari antara orang mati, murid-murid-Nya teringat akan perkataan ini; dan mereka percaya pada Kitab Suci dan perkataan yang Yesus ucapkan. 23 Semasa Yesus berada di Yerusalem selama Perayaan Paskah banyak orang yang percaya dalam nama-Nya kerana melihat mukjizat yang Yesus telah lakukan. 24 Tetapi Yesus sendiri tidak mempercayakan diri-Nya kepada mereka kerana Yesus mengenal semua orang. 25 Dan Yesus tidak memerlukan siapa pun untuk memberi kesaksian tentang manusia sebab Yesus tahu apa yang ada dalam hati manusia.