BAB 10

1 Yesus berkata, ''Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, orang yang masuk ke kandang domba dengan tidak melalui pintu, melainkan memanjat dinding, orang itu adalah pencuri dan perompak. 2 Tetapi orang yang masuk melalui pintu, dia adalah gembala domba. 3 Penjaga pintu membuka pintu untuknya dan kawanan domba itu mengenal suaranya. Dia memanggil nama setiap dombanya. Gembala itu pun memimpin domba-domba itu keluar. 4 Setelah semua domba itu keluar, gembala itu berjalan di hadapan dan domba-domba mengikutinya kerana mengenal suaranya. 5 Kawanan domba itu tidak akan mengikut orang lain, malahan akan lari daripadanya kerana tidak mengenal suaranya. 6 Yesus bercerita secara kiasan tetapi mereka tidak faham akan maksud Yesus. 7 Oleh sebab itu Yesus berkata lagi kepada mereka, ''Sesungguhnya, Aku berkata kepada kamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu. 8 Semua orang yang datang sebelum Aku ialah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba itu tidak mengikut suara mereka. 9 Akulah pintu. Jika seseorang masuk melalui Aku, ia akan diselamatkan dan akan keluar masuk serta menemukan padang rumput. 10 Pencuri hanya datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan; Aku datang supaya mereka memiliki hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah. 11 Akulah gembala yang baik. Gembala yang mengorbankan nyawanya untuk kawanan dombanya. 12 Seorang upahan, yang bukan pemilik kawanan domba akan lari apabila melihat serigala datang menerkam domba itu serta mencerai beraikan kawanan domba itu. 13 Ia lari kerana dia seorang upahan dan tidak peduli pada kawanan domba itu. 14 Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal Aku, 15 sama seperti Bapa mengenal Aku dan Aku pun mengenal Bapa; dan Aku memberikan nyawa-Ku bagi domba-domba itu. 16 Aku juga mempunyai domba-domba lain yang bukan dari kandang ini; Aku harus memimpin mereka juga dan mereka pun akan mendengar suara-Ku; dan mereka akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala. 17 Kerana inilah Bapa mengasihi Aku, sebab Aku memberikan nyawa-Ku supaya Aku dapat mengambilnya kembali. 18 Sesiapa pun tidak dapat mengambil nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa mengambilnya semula. Inilah perintah yang Kuterima daripada Bapa-Ku. 19 Setelah mendengar kata-kata Yesus, orang Yahudi berselisih pendapat lagi. 20 Sebilangan besar berkata, ''Dia dirasuk roh jahat! Dia tidak siuman! Mengapa kamu mau mendengar kata-kata-Nya? 21 ''Namun demikian ada yang berkata, ''Orang yang dirasuk roh jahat tidak akan bercakap begitu. Dan bagaimanakah roh jahat dapat menyembuhkan orang buta?'' 22 Di Yerusalem, perayaan Pentahbisan sedang disambut. Ketika itu musim sejuk 23 dan Yesus sedang berjalan di serambi Salomo di dalam Bait Suci. 24 Orang Yahudi pun berkumpul di sekeliling Yesus lalu berkata, ''Sampai bilakah Engkau membiarkan kami bertanya-tanya? Katakanlah dengan jelas; Apakah Engkau ini Kristus? 25 Ýesus menjawab mereka, ''Aku sudah mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak percaya. Segala pekerjaan yang Aku lakukan dalam nama Bapa-Ku, itulah yang memberikan kesaksian tentang Aku. 26 Akan tetapi kamu tidak percaya kerana kamu tidak termasuk domba-domba-Ku. 27 Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengenal-Ku. 28 Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa yang dapat merampas mereka daripada tangan-Ku. 29 Bapa-Ku, yang memberikan mereka kepada-Ku, lebih besar dari semua. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada Bapa. 30 Aku dan Bapa adalah satu. 31 Selepas itu orang Yahudi yang hadir pun memungut batu untuk melempari Yesus. 32 Akan tetapi Yesus berkata kepada mereka, ''Aku telah menunjukkan kepada kamu banyak pekerjaan baik dari Bapa, pekerjaan manakah yang membuat kamu hendak melempari Aku dengan batu?'' 33 Orang Yahudi menjawab Yesus, ''Bukan kerana suatu pekerjaan baik kami hendak melempari Engkau dengan batu, tetapi kerana Kamu menghujat Allah. Kamu hanyalah seorang manusia, tetapi Kamu menganggap diri-Mu Allah!'' 34 Yesus menjawab mereka, ''Bukankah tertulis dalam Kitab Taurat kamu, ''Aku telah berfirman, Kamu adalah allah''? 35 Jika Allah menyebut mereka yang menerima firman itu ''allah'', padahal Kitab Suci tidak boleh dibatalkan, 36 apakah yang kamu katakan tentang Dia yang telah Bapa kuduskan dan utus ke dalam dunia, ''Engkau menghujat'', kerana Aku berkata kepada kamu, ''Aku adalah Anak Allah. 37 Jika Aku tidak melakukan pekerjaan Bapa-Ku, janganlah kamu percaya kepada-Ku. 38 Tetapi jika Aku melakukan pekerjaan itu, walaupun kamu tidak percaya kepada-Ku, percayalah akan pekerjaan itu supaya kamu tahu dan mengerti bahawa Bapa di dalam Aku dan Aku di dalam Bapa. 39 Sekali lagi mereka cuba menangkap Yesus tetapi Yesus hilang dari mereka. 40 Lalu Yesus pergi lagi menyeberangi sungai Yordan menuju ke tempat Yohanes pertama kali membaptis dulu dan Yesus tinggal di sana. 41 Banyak orang yang datang kepada Yesus dan berkata, ''Meskipun Yohanes tidak melakukan mukjizat tetapi semua yang yohanes katakan tentang Orang ini adalah benar. 42 Dan banyak orang yang menjadi percaya kepada Yesus di sana.